Rabu, 25 Desember 2013
Bangunkan RMM guna teknik pra fabrikasi

Abdul Khalid (tengah) pada sidang media semalam berhubung cadangan Kerajaan Negeri mahu bina RMM guna kaedah prafabrikasi.
SHAH ALAM – Kerajaan negeri bercadang membangunkan projek-projek Rumah Mampu Milik (RMM) menggunakan teknik pra-fabrikasi kerana kaedah tersebut lebih jimat, cepat dan mengurangkan tenaga kerja.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tapak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sebagai perintis untuk pembinaan RMM menggunakan teknik tersebut di mana ia djiangka dimulakan tahun depan.
“Semalam (kelmarin) saya bersama Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim; Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dan Pengarah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim melawat Bright Pre-Caster Company Limited di Bangkok menggunakan teknologi robot untuk menghasilkan komponen pra-fabrikasi selain melawat projek perumahan menggunakan kaedah tersebut.
“Kita juga sedang melihat peluang untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pengilang tempatan yang berupaya membekalkan komponen-komponen pra-fabrikasi ini kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek RMM ini,” katanya.
Abdul Khalid berkata, pihaknya akan melawat projek-projek perumahan di negara ini yang menggunakan kaedah sama bagi mendapatkan maklumat dan kerjasama.
“Kita berpandangan bahawa perumahan selesa dan mampu milik merupakan keperluan mendesak dan perlu disegerakan terutama bagi golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang mana peluang untuk golongan membeli rumah agak terhad.
“Penggunaan teknik pra-fabrikasi ini amat sesuai kerana ia digunakan secara meluas di negara luar dan paling utama menjimatkan kos dan menentukan pelaksanaan dibuat dengan berkesan,” katanya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar